Friday, February 27, 2009

Belanja berhemat AS bawa kesan kepada dunia Oleh Khaidir A Majid

SERING dikatakan jika Amerika Syarikat menghidap selesema, seluruh dunia akan dijangkitinya. Kebenaran kenyataan demikian jelas dapat dilihat daripada kemelut ekonomi sekarang yang mula tercetus di pasaran kewangan Amerika dan kini melarat ke hampir seluruh dunia.

Fenomena itu berlaku kerana Amerika adalah pasaran terbesar dunia dan jika pasaran ini terjejas sudah tentu ia akan memberi kesan negatif kepada kebanyakan negara lain yang menjual barang kepada pengguna di Amerika.

Berikutan hakikat ini, desakan Presiden Barack Obama kelmarin dalam ucapan sulungnya di Kongres, supaya rakyat Amerika mula berbelanja mengikut kemampuan masing-masing amat membimbangkan.

Pelik juga difikirkan bahawa sikap belanja berhemat akan hanya membawa kepada masalah yang lebih besar kepada ekonomi dunia sekarang. Bayangkan jika rakyat Amerika mengurangkan perbelanjaan secara mendadak, siapakah pula yang akan membeli barang yang dikeluarkan oleh kilang-kilang di seluruh dunia?

Jika barang tidak dapat dijual, kilang akan ditutup, pekerja akan dibuang kerja dan lebih ramai lagi yang menganggur. Jika ramai menganggur tidaklah ramai pula yang mempunyai wang untuk membeli barang di kedai dan jika kedai tidak dapat jual barang, terpaksa pula ia ditutup dan pekerja dibuang lagi.

Begitulah yang pernah dicadangkan oleh tokoh ekonomi tersohor, John Maynard Keynes sebagai paradox of thrift. Secara ringkasnya, jika semua orang berjimat, semua orang akan jadi miskin. Kenyataan pelik tetapi terbukti benar.

Di bawah paradoks Keynes ini, jika semua orang jimat duit dalam kemelesetan ekonomi, permintaan akan merosot dan keadaan ini selanjutnya akan menyebabkan jumlah simpanan berkurangan.

Sebenarnya tidak semua orang perlu berjimat dalam keadaan ekonomi meleset sekarang.

Mereka yang masih mempunyai wang tidak perlu berjimat. Sebaliknya mereka harus berbelanja untuk merancakkan ekonomi. Lagipun, bukankah waktu pasaran meleset masa terbaik untuk membeli kerana kebanyakan barang sudah jatuh harga.

Sebagai contoh, lihat sajalah di pasaran saham di seluruh dunia di mana harga saham syarikat terkemuka sekalipun sudah jatuh paras amat rendah. Pasaran hartanah juga begitu di mana harganya sudah jatuh pada paras menarik dibeli.

Jelas apa yang diperlukan sekarang adalah untuk memberi rangsangan kepada mereka yang masih mempunyai wang untuk berbelanja. Jelas satu cabaran besar, lebih-lebih lagi sentimen politik dari Amerika ke Eropah sekarang mengecam tokoh korporat yang mendapat bantuan kerajaan memperagakan kemewahan seperti menggunakan jet korporat atau helikopter ke tempat kerja.

Malah, jika mereka ini mendapat bonus besar pun, mereka akan dikecam hebat. Namun, jika mereka yang mempunyai keupayaan berbelanja berjuta dolar dalam satu kunjungan ke kedai ini tidak berbelanja, siapakah pula akan berbelanja untuk memulihkan ekonomi?

Mereka yang berpendapatan rendah sudah semestinya tidak upaya berbelanja di luar kemampuan, baik pada zaman meleset, mahupun ketika ekonomi cergas. Mereka yang berpendapatan sederhana pula hanya boleh berbelanja besar jika pihak bank sanggup memberi pinjaman.

Kalau dulu golongan ini banyak bergantung kepada kad kredit untuk berbelanja, ramai di kalangan mereka ini sekarang mempunyai masalah untuk membayarnya semula. Sekarang baru mereka menyedari bahawa hakikat sebenarnya ialah tidak pernah wujud kaedah penggunaan kad kredit secara berhemat.

Berbalik kepada ucapan Obama dan paradoks Keynes, memang benar Amerika perlu menyelesaikan masalah defisit bajet dan hutang kerajaan yang amat besar. Namun dalam kemelesetan sekarang - sekurang-kurangnya untuk jangka pendek - ia perlu terus berbelanja untuk menyelamatkan ekonomi dunia.



Penulis ialah Pengarang Berita Luar Negara Berita Harian

Click here

No comments:

Post a Comment