Thursday, March 12, 2009

Tun Perak (Artikel Penyegar Fikiran Siri 001)

Kesultanan Melaka roboh sebelum sempat mencipta tamadun. Dalam kegemilangan yang singkat itu menyerlah negarawan Tun Perak. Bendahara tentu tidak dapat mendekati kehebatan Perikles, negarawan empayar Athen sebelum tewas dalam perang Peloponnisian. Perikles mempunyai sejahrawan agong Thucydides yang memberitahu kita semua, dan manusia zaman berzaman, demokrasi terus dan populis Athen. Kalau tidak kerana cacatan Thucydides Abraham Lincoln tidak akan dapat membaca pidato Perikles dimajlis pengkebumian wira-wira Athen yang terkorban melawan Sparta. Dan pidato itulah yang mengilhamkan ucapan paling agong semua presiden, pidato Gettysburg yang ditujukan kepada syuhada kebebasan dan memberi nyawa baru demokrasi yang berkecai oleh perang saudara.
Namun kita masih boleh membandingkan keduanya. Kerana kalau Perikles mencipta Pax Hellenica, Tun Perak membangun Pax Malacca. Kedua-duanya adalah negarawan imperialis, mendukung tata hukum dan mencipta kemakmuran melalui perdangan bebas. Persamaan mungkin habis di situ. Di mana perbedaan bermula, dan keagongan Perikles menyerlah adalah bila negarawan Athen itu menjadi penaung kepada gerakan fikiran bebas, tokoh-tokoh sofis seperti Protagoras, demokrasi terus dan zaman baru sementara Tun Perak hanyalah anak zamannya dan seorang negarawan feudal.
Sekiranya Tun Perak menulis memoir diakhir hayatnya atau menulis surat kepada seorang pembesar lain untuk menyatakan renungannya terhadap penderhakaan Hang Jebat isi kandungannya mungkin seperti yang ditulis oleh Edmund Burke kepada Lord Charlemont pada 9 Ogos setelah mendengar berita pemberontak rakyat Perancis yang merobohkan penjara Bastille.

No comments:

Post a Comment